Tuesday, September 13, 2011

Yuna Dah Nekad Nak Berhijrah Ke Amerika Syarikat Lah !!!

Awesome !

12 Sept - Walaupun terpaksa berulang-alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat sejak tahun lalu, ianya membuahkan hasil apabila pelantun lagu hit "Dan Sebenarnya", Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna telah dilamar oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa, Fadel Label.
Termaktubnya perjanjian tersebut, misi Yuna untuk melebarkan sayap seni secara global tercapai apabila dia dikhabarkan bakal melahirkan album debut Inggeris penuh pada awal tahun depan yang akan menampilkan kolaborasi bersama beberapa figura hebat persada seni antarabangsa seperti Pharrell Williams dan Guy Sebastian.

Malah bagi memudahkan proses pembikinan albumnya agar berjalan dengan lancar, Yuna merasakan satu langkah terbaik untuk berhijrah ke Los Angeles buat jangka masa panjang.
"Saya cukup beruntung kerana di sana, saya tidak perlu bersusah-payah mencari tempat tinggal mahupun menyediakan duit poket kerana semuanya telah ditanggung oleh syarikat rakaman. Mereka telah menyediakan sebuah pangsapuri bahkan turut memberi wang belanja untuk saya setiap bulan," kata Yuna ketika ditemui sempena majlis pelancaran In-Touch with Canon dan majlis makan malam Aidilfitri di Restoran Saloma di sini semalam.

Berkongsi tentang perkembangan album terbarunya, Yuna menyatakan dia masih dalam proses pembikinan album dan setakat ini sudah menyiapkan hampir 30 buah lagu baru malah masih lagi menulis beberapa lagu baru bersama Pharrell.

Menyentuh tentang peminatnya di tanah air pula, Yuna yang sudah berada di Malaysia sejak lima hari sebelum Aidilfitri menegaskan penghijrahannya ke sana tidak bermakna karier seninya juga peminatnya di sini akan diabaikan. Sebaliknya Yuna akan terus menghiburkan peminatnya di sini yang telah banyak mendukung karier seninya sejak hari pertama lagi.

Jelas penyanyi berkulit hitam manis ini lagi, walaupun terpisah jauh dia tetap akan berkomunikasi bersama peminatnya melalui laman sosial Twitter dan Facebook. Dengan cara itu mereka boleh berkongsi apa juga kisah dan pengalaman yang diperolehinya di sana.

"Seboleh-bolehnya, saya akan memastikan setiap enam bulan pasti ada persembahan untuk peminat saya di Malaysia. Seperti yang saya lakukan sekarang, jadual seni diisi sepenuhnya bersama media dan peminat dan saya serahkan semua urusan kepada pihak pengurusan saya di sini," tambah Yuna lagi.
Yuna akan beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena siri konsert musim terbaru orkestra berkenaan yang akan berlangsung hari ini dan esok (13 September)

Sumber : http://my.news.yahoo.com/yuna-nekad-berhijrah-ke-amerika-syarikat-085400185.html