Friday, March 9, 2012

Bunga Melur


Dihujung sana tempatmu Bunga Melur,
Bukan ditaman yang indah Bunga Melur,
Hanya disudut halaman,
Tiada dihiasi jambangan indah permai.


Tapi warnamu yang putih Bunga Melur,
Tandanya suci dan murni Bunga Melur,
Walaupun ditiup debu,
Warnamu dan baumu tetap memikat kalbu.


Ibarat gadis desa Bunga Melur sederhana,
Walau kering tak bercahaya Bunga Melur,
Baumu memikat jiwa.


Semoga sabar dahulu Bunga Melur,
Pada disuatu ketika Bunga Melur,
Masanya akan menjelma,
Disanjung dan dipuja oleh gadis remaja.

Dimana Pelangi ?



Setahun sudah berlalu. Saat aku dilanda hujan dan badai masih lagi bergelora lautnya hingga kini. Tidak mahu kuceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Biarlah hatiku ini menyimpan seribu satu rahsia itu.

Ujian demi ujian diturunkan oleh Yang Maha Agung kepada aku dan suami. Satu persatu terpaksa kami tempuh bersama. Mereka disekeliling ada yang tahu. Namun berapa kerat sangat yang memahami. Selebihnya hanya memberikan keputusan supaya mahligai yang kami bina dirobohkan serta merta.

Aku tidak faham apa muslihat mereka. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepada suamiku walaupun belum pasti dia lakukannya. Hati isteri mana yang tidak hancur luluh disaat melihat air mata suaminya jatuh berlinangan dek fitnah dan tohmahan bermacam-macam.

Tidaklah aku pantas untuk percaya semua omongan mereka itu. Kerana aku isterinya lebih mengenali hati budi si suami.

Ibarat hujan disertai guruh bersama petir. Maka dilanda "BAH" istana kami. Salah siapa? Puncanya apa? Itu tidak penting lagi. Tapi bagaimana mahu kami surutkan banjir ini ? Apa yang perlu kami lakukan untuk merayu pada sang hujan supaya berhenti tangisannya ?

Sememangnya kami impikan pelangi indah itu. Seandainya tidak diberikan pelangi, cukuplah cerah selepas hujan. Tapi bilakan masanya itu akan terjadi ?

Mungkin Yang Maha Mengetahui masih lagi rindukan suara kami. Masih lagi rindukan sedu sedan tangis kami. Masih lagi rindukan rintihan kami yang meminta pertolongan. Sudah pasti kami tidak akan berhenti menadah tangan dan bersujud menghinakan diri ini yang memerlukan-Nya.

Badai belum berakhir, petir masih sambar menyambar, guruh masih berdentum, hujan masih menangis, awan masih berarak kelabu. Aku yakin malah pasti semua ini bakal berakhir bila sudah sampai waktu itu. Percayalah pada "Kun Fayakun"...