Friday, February 3, 2012

Perkara Mengenai Santau Yang Perlu Anda Tahu

Santau telah wujud sejak sekian lama dan merupakan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT. Ia juga adalah salah satu daripada ilmu hitam sihir kerana ia berkaitan dengan jin, syaitan dan iblis. Mereka yang mengamalkannya telah bekerjasama dengan makhluk yang dilaknat Tuhan itu. Diamalkan oleh manusia yang mempunyai kepentingan peribadi dan bersifat kejahatan. Namun tujuannya ialah untuk menganiaya manusia yang lain. Sifat iri hati dan perasaan dengki serta dendam telah menjurus mereka melakukan perbuatan sedemikian.

Santau terbahagi kepada 2 jenis iaitu :-

a) Santau Tuju
Santau ini digunakan untuk menganiaya mangsanya. Ia ditujukan khas kepada nama mangsa yang diseru. Selalunya bertujuan membalas dendam dan iri hati. Salah satu gejalanya ialah mangsa akan mengalami batuk kronik dan muntah darah atau benda-benda kotor. Ia boleh menyebabkan mangsa mengalami sakit yang teruk atau mati serta merta dan berasa diganggu oleh makhluk halus.

b) Santau Pelepas
Santau ini tidak mengenal mangsanya tidak kira golongan bayi mahupun dewasa. Ia tidak ditujukan khas kepada sesiapa. Selalunya pengamal akan melepaskan santau ini untuk menguji tahap kekuatan ilmu mereka. Santau ini juga dilepaskan pada malam bulan gelap atau tiada kelihatan cahaya bulan pada malam itu. Dan ia akan dilepaskan ditempat orang ramai contohnya rumah kenduri kendara atau kedai-kedai makan yang ramai pelanggan. Jika dikedai makan, pengamalnya akan datang sebagai pelanggan dan berseorangan untuk melepaskan ilmu hitam itu. Bermakna tidak semestinya pengamal ilmu ini adalah pemilik kedai makan tersebut. Antara gejala yang selalunya dihidapi jika terkena santau jenis ini ialah badan sentiasa sakit, sering diganggu makhluk halus, penyakit gatal pada tubuh yang sukar dirawat dan sukar sembuh. Ia juga membahaya dan boleh membawa mudarat serta maut.

Untuk mengelakkan terkena Santau ialah :-
- Jangan tinggal solat 5 waktu.
- Rajin membaca Al-Quran
- Amalkan zikir
- Mulakan membaca Bismillah sebelum melakukan sesuatu termasuk makan dan minum
- Amalkan membaca Surah Al-Fatihah, Kursi, Al-ikhlas, Al-falakh  dan An-nas selepas solat dan sebelum tidur.
- Digalakkan tidak keluar rumah selepas waktu maghrib jika tiada hal kepentingan.
- Jangan mengamalkan pulang lewat malam ke rumah.
- Amalkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah.

Jika anda ialah salah seorang mangsa santau, haruslah berpantang makan. Jangan makan sebarang jenis limau atau makanan berasid serta makanan laut seperti sotong, udang dan ketam kerana ia dapat menguatkan lagi santau tersebut. Amalkan mandi air garam kasar dan air Surah Yasin kerana ia boleh melemahkan santau. Dapatkan juga rawatan di pusat-pusat rawatan perubatan Islam yang menggunakan sepenuhnya ayat Al-Quran dan jangan berjumpa bomoh atau pawang yang boleh membawa perkara syirik.

Saya telah memperoleh ilmu ini daripada seorang Ustaz semasa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Darrusyifa.

Semoga ia berguna kepada anda. Wallahualam...