Sunday, September 18, 2011

KENAPA SAYA SUKA ANNAS EASKEY?

Annas Easkey

Apabila saya berbicara tentang Annas Easkey, sudah pasti ramai yang mengenali jejaka ini. Namanya juga sudah sering meniti dibibir dan menjadi bualan hangat didalam dunia fotografi. Beliau telahpun berjaya melakarkan namanya setanding dengan jurugambar bertaraf profesional. Terkenal dengan gelaran 'Sentuhan Ajaib', Annas mampu mengolahkan hasil karyanya dengan kelihatan seakan bernyawa. Sudah tentu apabila menatap sahaja gambar yang dihasilkan oleh Annas, ia mampu membuatkan kita terkesima dan terpesona seperti melihat kejelitaan sang bidadari yang berasal dari kayangan.

Memiliki bakat yang tersendiri anugerah daripada Yang Maha Esa, membuatkan Annas sering menjadi pilihan para Pereka Fesyen handalan Malaysia untuk bekerjasama dengan beliau. Malah Artis-Artis tersohor negara juga turut tidak ketinggalan mencari peluang untuk mendapatkan hasil kreatif Annas Easkey. Namanya yang sering disebut-sebut dan disenaraikan dalam carta jurugambar membuatkan beliau kini begitu sinonim dengan pentas peragaan. Maka tidak hairanlah jika Annas Easkey sering menjadi rebutan dalam dunia fotografi.

Kagum dan sangat teruja. Ini yang saya boleh ungkapkan tatkala deria mata merenung hasil karya Annas. Seperti tidak menyangka jejaka yang baru berusia 23 tahun mampu mencetuskan revolusi dalam setiap penghasilan karyanya. Beliau seakan sudah mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam bidang tersebut. Tranformasi yang dilakukan ke dalam gambar beliau mampu meledak hati sanubari sesiapa sahaja yang melihatnya.


Annas merupakan Siswa tahun akhir jurusan Bachelor Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran dari UiTM Segamat. Ini memberikan beliau satu kelebihan untuk memasarkan karyanya. Dari segi menyusun strategik bidang perniagaan, saya boleh melabelkan Annas telah berjaya. Saya yakin ilmu yang telah diperoleh Annas dalam bidang pemasaran ini digunakan sebaik mungkin dan telah membantu memajukan kerjaya beliau sehingga ke hari ini. Bagi saya Annas Easkey memang layak dikategorikan seorang Usahawan Fotografi Bumiputra yang terbaik.

Saban hari pabila saya membuka blog Annas Easkey, mata dan hati ini seakan bekerjasama merenung dan menjiwai setiap keping gambar yang dihasilkan olehnya. Annas benar-benar ikhlas dan komited terhadap setiap keping gambarnya. Seakan tiada cacat cela dari pelbagai aspek. Sempurna dan teliti karya yang dihasilkan oleh Annas. Tidaklah nampak seperti 'Melepaskan Batuk Ditangga' sahaja.

Annas yang bijak menguruskan masa antara pelajaran dan kerjaya, membuatkan beliau kini menjadi idola ramai anak muda termasuklah saya terutama kepada mereka yang ingin menceburi bidang sepertinya. Ternyata Annas Easkey telah membuktikan kepada masyarakat dan telah membuka mata mereka bahawa  kejayaan dalam kerjaya mampu seiring dengan pelajaran.

'Jika Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya'. Begitulah perumpamaan yang boleh saya berikan atas penat lelah dan susah payah Annas dalam membina kerjaya sebagai seorang jurugambar. Saya dapat melihat kesungguhan Annas Easkey terhadap setiap tugas yang beliau lakukan. Annas memang seorang yang kuat berusaha dan tidak kenal erti putus asa. Walaupun tidak pernah sekali saya berhadapan dengan Annas, namun daripada penceritaan dalam blog beliau, saya dapat membaca dan merasai kesungguhannya.



Bermutu dan berkualiti tinggi. Itulah jawapan saya jika ditanya akan hasil kerja Annas Easkey. Sikap beliau yang profesional terhadap tugasnya membuatkan ramai memberi keyakinan dan kepercayaan kepada Annas. Annas juga tidak pernah memilih siapa pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya. Tidak kira sama ada anda seorang yang cantik atau tidak, memiliki tubuh yang lansing ataupun tidak, atau berapa usia anda pun tetap akan dilayan sama rata sahaja. Sikap rendah diri yang dimiliki membuatkan Annas disenangi oleh sesiapa sahaja yang mendapatkan perkhidmatannya.

Tidak dapatlah saya menyangkal dan menafikan bahawa Annas memang seorang jurugambar yang kreatif dan inovatif. Idea yang ditonjolkan oleh beliau mampu memberi kelainan dalam setiap keping hasil karyanya. Annas mempunyai identiti yang tersendiri tanpa meniru dari mana-mana jurugambar sedia ada. Bakat yang dimiliki oleh Annas Easkey juga mampu menandingi jurugambar berkelas antarabangsa. Mungkin pada satu hari nanti, beliau akan menjadi antara rakyat Malaysia yang berjaya dipersada dunia terutama dalam bidang fotografi ini.

Andai mahu diluahkan segalanya, memang banyak yang saya mahu kongsikan bersama anda tentang Annas Easkey. Namun inilah yang terbaik saya luahkan kepada anda ' KENAPA SAYA SUKA ANNAS EASKEY'. Saya sentiasa mendoakan kejayaan Annas Easkey. Semoga perkara yang dilakukan oleh beliau menjadi contoh kepada kita semua terutama generasi muda. Terbaik Annas...

Bagi kalian yang mahu mengenali Annas Easkey, layari BLOG ANNAS atau FANPAGE ANNAS di facebook.

No comments: